Ahad, 17 Mei 2009

Zamarul, Diana Rafar Diijabkabul


Dengan sekali lafaz, akhirnya pelakon Zamarul Hisham Mohamad secara sah menjadi suami kepada Diana Rafar.


Pada majlis pernikahan yang berlangsung pada jam 10.30 pagi tadi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Diana yang berwalikan abangnya, Airul Azmi Abdul Rafar, dinikahkan dengan Zamarul oleh Penolong Pendaftar Masjid tersebut, Ustaz Khairudin Haiyon, bersama mas kahwin RM165.


Zamarul yang berstatus duda anak 2, kelihatan menitiskan air mata selepas menunaikan solat syukur kemudiannya menyerah mas kahwin tersebut dan menyarungkan sebentuk cincin berlian ke jari manis isterinya.


Kedua-dua pelakon berkenaan yang melalui zaman percintaan hampir 8 tahun, tidak terlepas meluahkan rasa bersyukur dan gembira tidak terhingga apabila selamat disatukan sebagai suami isteri.




"Banyak maknanya pada angka 165 itu. Selepas kami melalui proses motivasi diri tidak lama dahulu, kami mula mengambil nombor tersebut sebagai tanda ikatan kami berdua. Ia telah dirancang awal sempena tarikh perkahwinan kami pada hari ini, 16.5.2009. Selain jumlah mas kahwin, saya turut menghadiahkan kepada isteri saya wang hantaran sebanyak RM16,500. Angka 6 memberi maksud Rukun Iman dan 5 adalah Rukun Islam.


"Selepas selamat diijabkabulkan Saya tidak dapat nak menggambarkan perasaan gembira bergelar suami kepada Diana. Saya mendoakan agar saya dapat menjadi suami yang baik, bertanggungjawab dan penyayang. Begitu juga yang saya harapkan daripada isteri saya.


"Saya berdoa agar perkahwinan ini berkekalan hingga ke hayat kami. Selepas ini kami akan tinggal bersama dengan anak sulung saya, Izzat," kata Zamarul ketika ditemubual selepas majlis akad nikah.


Zamarul yang pernah berkahwin sebelum ini mempunyai 2 anak iaitu Izzat Haiqal, 10, dan Iqmal Haiqal, 8. Bagaimanapun Iqmal tinggal bersama neneknya (bekas ibu mertua Zamarul).


Izzat yang lebih mesra dipanggil Aboi yang ditemui di majlis itu turut meluahkan rasa gembira dengan perkahwinan ayah dan ibu tirinya itu.


Bagi Diana atau nama sebenarnya, Adiana Abdul Rafar, tarikh hari ini sememangnya dinanti-nantikan sejak sekian lama dan ia sudah tercapai.


"Saya berharap Zamarul yang menjadi suami saya sekarang adalah sama dengan Zamarul yang saya kenal sejak 8 tahun lalu. Pada tahun pertama percintaan kami lagi, Zamarul sudah memperkenalkan anak sulungnya kepada saya. Kami bertiga sering keluar bersama-sama bersiar-siar dan membeli-belah.


"Bagaimanapun saya tidak pernah bertemu dengan anak keduanya, Iqmal kerana dia telah tinggal bersama dengan neneknya. Pun begitu, saya sememang hendak sangat berjumpa dengan dia," kata Diana.


Turut hadir pada majlis pagi tadi ialah kedua-dua belah pihak keluarga masing-masing termasuk ayah dan ibu Zamarul, Mohamad Mohd Zain dan Puan Zaleha, serta ibu Diana, Puan Zainun serta kakaknay, Linda Rafar bersama suaminya, pelakon Syed Aiman.


Malam ini majlis resepsi perkahwinan bagi spengantin perempuan akan diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam. Selamat Pengantin Baru buat Zamarul dan Diana!

0 ulasan:

 

[L]i[F]e S[t]Y[l]E. Design By: SkinCorner