Tapi sama ada bercerai mati mahu pun bercerai hidup, seorang wanita yang bergelar ibu tunggal atau janda, harus memikul tanggungjawab yang berat. Selain terpaksa menyara kehidupan sendiri mereka juga terpaksa menyara anak-anak. Satu lagi tanggungjawab yang harus dipikul oleh wanita yang bergelar ibu tunggal ialah selain menjadi ibu kepada anak-anak dalam masa yang sama terpaksa menjadi seorang ‘ayah’.
Kalau dilihat kebanyakan ibu tunggal mungkin terpaksa mulai bekerja di luar rumah untuk pertama kalinya untuk memenuhi keperluan kewangan keluarganya dengan gaji pertama yang tidak begitu banyak. Mengikut kajian, kurang dari 50 peratus bekas suami yang bersedia untuk menanggung hidup anak-anak setelah berlakunya perceraian.
Ada satu perubahan tambahan yang terjadi dewasa ini, iaitu ibu tunggal yang telah menjanda, bercerai atau ditinggalkan suaminya, biasanya kembali ke rumah orang tua mereka. Semua ini berlaku apabila seseorang ibu tunggal itu tidak mempunyai sebarang punca pendapatan untuk menyara kehidupan diri sendiri dan juga anak.
Walau bagaimana pun ramai juga di kalangan ibu tunggal yang memilih untuk hidup sendiri bersama anak-anak kerana enggan menyusahkan keluarga. Ada banyak bukti yang menunjukkan bahawa anak-anak akan menjadi lebih baik jika tinggal di rumah bersama minimum dua orang dewasa, tidak kiralah orang dewasa yang selain daripada ibu mereka itu terdiri daripada sama ada misalnya nenek, datuk dan ibu saudara.
Seorang ibu tunggal sering kali dibebani dengan pelbagai tanggungjawab, tidak mempunyai ruang untuk menikmati hidup dan tidak ada kesempatan untuk memikirkan dirinya sendiri kerana terlalu banyak masa dan perhatian dicurahkan kepada anak-anak. Maka tidak hairanlah jika golongan ibu tunggal mengalami tekanan.
Minggu ini MW menyingkap pengalaman yang dilalui oleh wanita yang bergelar ibu tunggal terutama dalam usia yang muda. Susah payah membesarkan anak-anak sendirian serta bagaimana mereka menghadapi pandangan masyarakat yang sering memandang serong kepada golongan ibu tunggal.
Kuatkan semangat demi anak-anak - Munawaroh Haji Mustapha
“Ketika mula-mula bergelar ibu tunggal, saya seolah-olah kehilangan tempat berpaut. Jika selama ini segalagalanya diharapkan daripada suami tetapi kini selepas kehilangan suami kira-kira empat tahun yang lalu, saya terpaksa menerima hakikat bahawa Allah lebih menyayangi arwah.
Saya bergelar ibu tunggal dalam usia 30 tahun dan ketika itu anak-anak saya masih kecil. Sebelum arwah meninggal saya tidak pernah bekerja dan segala keperluan ditanggung suami tetapi selepas pemergian suami, saya harus tabah dan kuat untuk meneruskan kehidupan. Dengan tulang empat kerat, saya berusaha untuk mencari pekerjaan demi untuk menyara diri sendiri dan juga empat orang anak yang masih kecil.
Mungkin bagi golongan ibu tunggal yang memiliki pekerjaan mereka tidak terlalu terasa sangat. Tetapi bagi saya yang tidak pernah bekerja, ia merupakan suatu ujian yang amat mencabar. Saya redha dengan ketentuan Allah dan demi anak-anak saya bangkit dan menguatkan semangat demi masa depan anak-anak yang ditinggalkan oleh arwah suami.
Perlu kawal emosi - Surayahany Mohamed Said
“Memang tidak dapat dinafikan bukan mudah menjalani hidup sebagai seorang ibu tunggal. Mana tidaknya, jika dahulu urusan rumah tangga dan menguruskan anak-anak diuruskan bersama tetapi selepas ketiadaan suami, semuanya terpaksa diuruskan sendirian. Rutin harian saya selalunya bermula pada waktu pagi dengan menghantar anak-anak ke sekolah terlebih dahulu sebelum saya bertolak ke tempat kerja.
Segala urusan tiga orang anak-anak perempuan semuanya saya urus sendiri. Secara tidak langsung ia mengajar saya untuk hidup berdikari. Pada mulanya agak sukar juga sebab sebelum ini suami banyak membantu tetapi selepas ketiadaan arwah, saya belajar untuk menguruskan anak-anak sendirian. Saya bernasib baik kerana bekerja, jadi saya masih ada sumber pendapatan.
Cuma saya perlu lebih berjimat cermat bagi menampung kos kehidupan diri sendiri dan juga anak-anak. Antara cabaran yang terpaksa dilalui oleh seorang ibu tunggal ialah untuk menyediakan kos sara hidup yang tinggi setiap bulan selain menghadapi kerenah anak-anak yang semakin meningkat remaja.
0 ulasan:
Catat Ulasan